Wednesday 26 September 2012

KONSEP DAN TAKRIF BAHASA



 Hasil Pembelajaran

Setelah mengikuti topik ini, anda akan dapat:

1.    Menjelaskan konsep bahasa secara umum;

2.    Menjelaskan takrif bahasa secara umum;

3.    Memberikan konsep dan takrif bahasa berdasarkan kamus;

4.    Memberikan konsep dan takrif bahasa berdasarkan pendapat ahli-ahli bahasa

 

PENGENALAN

Bahasa boleh didefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi bahasa, peranan dan fungsinya. Namun demikian, kebanyakan ahli bahasa dan ahli linguistik telah memberikan konsep dan takrif bahasa yang hampir sama. Bahasa boleh diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada alat-alat artikulasi yang ada pada mereka. Lambang-lambang yang diujarkan itu mempunyai makna-makna tertentu berdasarkan lingkungan masyarakat yang menuturkannya. Dalam setiap kegiatan manusia, bahasa memainkan peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu. Antara fungsi bahasa yang amat ketara ialah peranannya sebagai alat untuk membantu manusia menyampaikan percakapan, buah fikiran dan maklumat kepada orang lain.

 

3.1 DEFINISI BAHASA

Bloch dan Trager (1942), mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Proses komunikasi bahasa berlaku apabila adanya penutur dan pendengar. Menurut Chomsky (1957). Setiap penutur dan pendengar mempunyai dua perkara penting iaitu kecekapan bahasa dan pengucapan bahasa. Kecekapan bahasa berada dalam otak manusia dan ia diertikan sebagai satu sistem rumus bahasa yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas banyaknya.

Dari segi pragmatik, ahli-ahli linguistik bersetuju bahawa bahasa merupakan satu sistem yang menghubungkan maksud kepada bunyi, sama ada berdasarkan aksi penutur atau pendengar. Dengan andaian bahawa manusia mempunyai beberapa makna yang hendak disampaikan, dia mengucapkan bunyi-bunyi dengan tepat. Orang yang mendengar bunyi-bunyi tersebut akan cuba memberikan makna kepada ujaran yang dilafazkan oleh penutur.

 

3.2  KONSEP BAHASA

Bahasa merupakan satu sistem ujaran dan tulisan konvensional yang digunakan oleh manusia untuk berkongsi budaya dan berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa dapat menggambarkan dan memberikan kesan terhadap cara berfikir serta perubahan dan perkembangan budaya. Sesuatu bahasa itu akan menjadi semakin berbeza jika penuturnya terasing daripada penutur bahasa yang lain. Sebaliknya, jika sesuatu bahasa itu sentiasa dikomunikasikan, misalnya digunakan dalam urusan perdagangan, bahasa tersebut boleh mempengaruhi pengguna bahasa yang lain.

Kebanyakan bahasa yang ada pada hari ini adalah sekeluarga dengan bahasa yang lain, iaitu berasal daripada satu rumpun bahasa yang lebih besar. Sebagai contoh, semua bahasa Romawi berasal daripada bahasa Latin yang merupakan cabang kepada bahasa Indo-Eropah. Hubungan antara satu bahasa dengan bahasa yang lain ditentukan dengan membandingkan tatabahasa dan sintaksis, terutama dengan melihat bentuk-bentuk yang sama sifatnya atau perkataan yang sama.

Bahasa mempunyai struktur yang kompleks, tetapi boleh dianalisis dan diperlihatkan secara sistematik. Semua bahasa bermula dengan bahasa lisan, beberapa lama sebelum wujudnya sistem bahasa tulisan. Bahasa mengandungi sturktur ayat yang berbeza-beza untuk menyampaikan makna. Kandungan bahasa terdiri daripada bentuk dan susunan perkataan, struktur sintaksis dan intonasi ujaran.

           

            3.3  KONSEP DAN TAKRIF BAHASA MENGIKUT KAMUS

Terdapat konsep dan takrif bahasa yang dipetik daripada beberapa naskhah 

 kamus seperti berikut:

 

(a)  The American Heritage Science Dictionary

Bahasa ialah satu sistem objek atau simbol seperti bunyi atau sesuatu huruf yang berurutan yang boleh digabungkan dengan berbagai-bagai cara dengan mematuhi peraturan tertentu, terutamanya untuk melahirkan pemikiran, perasaan dan memberikan arahan.

(b)  The American Heritage Dictionary

Bahasa merupakan alat komunikasi bagi menyampaikan pemikiran dan perasaan melalui sistem tanda yang arbitrari seperti bunyi, gerak isyarat atau simbol-simbol tulisan. Bahasa merupakan satu sistem yang mengandungi peraturan-peraturan tertentu yang menggabungkan komponen seperti perkataan. Bahasa merupakan satu sistem yang digunakan oleh masyarakat atau komuniti yang berbeza untuk berinteraksi.

 

(c)  Oxford University Press (Language Software)

Bahasa merupakan salah satu cara terbaik untuk mengklasifikasikan manusia kepada suku atau etnik tertentu. Cara ini juga pernah digunakan pada zaman dahulu untuk menentukan asal usul manusia dan pengelompokan manusia kepada kaum-kaum tertentu. Walaupun kaedah ini masih boleh digunakan, tetapi pada hari ini terdapat cara baharu untuk mengetahui asal usul, keturunan dan genetik manusia melalui sains dan teknologi yang lebih canggih.

 

(d)  Etymology Dictionary

Bahasa terdiri daripada makna sistematik yang dikomunikasikan melalui penggunaan bunyi-bunyi atau tanda-tanda konvensional. Bahasa terdiri daripada ujaran perkataan daripada mulut atau teks yang bertulis. Bahasa melibatkan proses kognitif dalam menghasilkan dan memahami bunyi dan sistem tanda linguistik.

 

 

 

            3.4 KONSEP DAN TAKRIF BAHASA MENURUT

               AHLI BAHASA  

Konsep dan takrif bahasa yang diberikan oleh beberapa orang ahli bahasa dan    ahli linguistik yang terkemuka sdalah seperti berikut:

 


(a)  Edward Sapir                 Bahasa selalu digunakan oleh manusia dan   

(1921)                              merupakan   kaedah yang digunakan untuk 

                                         menyampaikan idea, perasaan dan keinginan 

                                         melalui bunyi-bunyi bahasa yang

 


(b)  G. Trager                  Bahasa ialah satu sistem lambang vokal yang   

(1949)                       arbitrari  dan bermakna yang digunakan oleh anggota

                                  Masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara  

                                  mereka   bersosialisasi.

                       

 


(c)  Noam Chomsky             Bahasa ialah set ayat, sama ada terbatas atau

(1957)                              tidak  dan setiap ayat yang terbatas panjangnya

                                        dibina   oleh satu set elemen  yang terbatas juga.

 

 

 

 


(d)  R.A. Hall           Bahasa merupakan institusi yang membolehkan 

 (1964)               manusia    berkomunikasi dan berhubung antara satu  

                          sama lain yang  mengandungi makna dan  menggunakan    

                          lambang-lambang arbitrari  lisan-pendengaran.      

 


(e)  Michael Halliday                    

  (1973)                             Bahasa ialah satu urutan kemungkinan dan 

                                          pilihan   tingkah laku yang bersesuaian dengan  

                                          individu sebagai manusia yang  bersosialisasi.                 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

AKTIVITI

 

Dengan menggunakan ayat anda sendiri, jelaskan takrif bahasa secara umum

 

 

Ciri-Ciri Bahasa

      Menurut Lyons (1988)  bahasa-bahasa di dunia memilik sifat dan ciri sepunya. Ia merangkumi cara menyampaikan perasaan, menanyakan soalan, mengemukakan permintaan, memberi perintah dan membuat kenyataan. Oleh  sebab bahasa boleh berkembang dan berubah maka kerap terdapat istilah-istilah baharu di dalam sesuatu bahasa berbanding dengan bahasa yang lain. Semua bahasa terdiri daripada konsonan dan vokal serta gabungan kedua-duanya akan menghasilkan bunyi yang bermakna. Manakalan set-set konsonan dan vokal bila bercantum akan menghasilkan ayat-ayat yang berbeza.

Bahasa Sebagai Satu Sistem

Maksudnya ialah bahasa mempunyai cara serta kaedah untuk diujarkan atau dituliskan. Kedudukan perkataan dengan perkataan yang lain dalam ayat adalah teratur.

Bahasa Sebagai Satu Simbol

Bahasa sebagai simbol isyarat bersuara yang dihantar oleh penutur kepada pendengar sebagai proses interaksi melalui saluran komunikasi tertentu. Bahasa sebagai simbol perpaduan membawa makna bahasa tertentu itu menjadi alat penutur utama bagi masyarakat dalam sesebuah negara.

Bahasa Sebagai Alat Komunikasi

Bahasa sebagai alat komunikasi boleh berlaku dalam dua cara iaitu secara lisan dan tulisan. Komunikasi dua hala melibatkan penutur dan pendengar yang memerlukan kemahiran  berbahasa. Penutur harus boleh bercakap dengan jelas melalui sebutan yang betul, kemas, teratur dan berupaya untuk menggunakan jeda, tekanan dan gaya yang tepat. Pendengar pula harus mendiskriminasikan bunyi-bunyi  ujaran, mendengar dengan teliti, memahami dan mentafsirkan percakapan yang didengar  dan seterusnya bertindak balas terhadap apa yang didengainya itu. Bahasa sebagai alat komunikasi juga melibatkan jarak tempat dan jarak masa. Dengan bantuan teknologi canggih komunikasi boleh berlaku walaupun jarak penutur dan pendengar berjauhan antara satu dengan  yang lain.

Bahasa Bersifat Arbitrari

Ini bermakna untuk satu simbol yang sama manusia menggunakan bunyi bahasa berbeza disebabkan oleh pengaruh budaya masing-masing. Bunyi bahasa dengan benda yang dimaksudkan tidak semestinya ada perkaitan. Makna bahasa juga bersifat arbitrari, seperti bunyi ring.., ring.., ring.. adalah bunyi loceng tertentu untuk tujuan yang tertentu pula.

 

Bahasa Bersifat Unik

Bahasa mempunyai bentuk dan struktur tertentu seperti binaan ayat, susunan huruf yang membentuk perkataan dan golongan kata seperti kata nama dan kata kerja. Bahasa bukan di warisi tetapi dipelajari maka tidak hairanlah kalau bayi berbangsa Cina dibesarkan di dalam keluarga Melayu boleh bercakap bahasa Melayu.

 

Bahasa Bersifat Sejagat.

Bahasa dapat dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja di dunia ini. Secara umum bunyi bahasa dan gabungan perkataan dalam ayat dapat menghasilkan makna. Dengan makna inilah manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi di antara satu dengan yang lain.

 

Bahasa Bersifat Dinamis

Bahasa mempunyai potensi untuk berkembang, membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan. Melalui pergaulan dan berinteraksi di kalangan manusia berlakulah pertembungan kebudayaan menyebabkan pertambahan dan pengayaan perbendaharaan  kata sesuatu bahasa.

Bahasa Bersifat Bervariasi

Terdapat kelpebagaian bagi sesuatu bahasa melibatkan cara dan gaya mengujarkannya.

 

Pandangan pakar terhadap ciri-ciri bahasa.

Anderson (1972)

Bahasa merupakan satu sistem terdiri dari vokal dan bunyi-bunyi ujaran. Terdapat lambang yang arbitrari yang menjadi alat perhubungan mempunyai kaitan rapat dengan budaya tempat bahsa itu dituturkan. Bahasa sentiasa berubah-ubah serta mempunyai sifat khas dan unit.

 

 

Brown (1980)

Bahasa merupakan sesuatu yang sistematik yang mempunyai lambang yang sewenang-wenangnya mungkinn bersifat bunyi, visual atau grafik. Lambang bahasa mempunyai makna kebiasaan bersifat kemanusiaan dan universal.

Tugasan.

1. Bentuk 5 kumpulan perbincangan,  kaji ciri-ciri bahasa yang terdapat dalam penggunaan bahasa daerah salah satu etnik di Malaysia.

2. Salah satu ciri bahasa ialah dinamik dan universal. Berdasarkan penggunaan bahasa Melayu,  jelaskan dua ciri tersebut.

3. Pada pendapat anda, bolehkah  bahasa Melayu dijadikan bahasa antarabangsa pada masa hadapan ?.

Rujukan:

Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) Fajar Bakti.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

FUNGSI BAHASA MELAYU

 

OBJEKTIF
Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:
1.    Mengenal pasti fungsi dan peranan bahasa Melayu.
                                  


 

 

 

 

PENGENALAN

Ada pepatah Melayu yang berbunyi “Maju Bahasa Majulah Bangsa” dan “ Bahasa Jiwa Bangsa”. Kebenaran dan kebijaksanaan kata-kata ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini disedari melalui usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu menerusi penerapan falsafah dan Dasar Bahasa Kebangsaan. Konsep “Satu Bahasa Satu Bangsa” akan membolehkan usaha-usaha yang berterusan bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai penyatuan rakyat yang berbilang kaum dan sebagai bahasa yang mencerminkan masyarakat yang berdaulat dan berjaya.

Bahasa Melayu semenjak zaman Empayar Sriwijaya telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca di nusantara secara berterusan sampai sekarang. Penjajahan kuasa asing tidak menjejaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca. Ciri ketahanan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk terus berkembang pada masa akan datang.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan; yang akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya, Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut “Bahasa Kebangsaan Negara ini ialah bahasa Melayu”.
Sebagai bahasa kebangsaan negara baru yang berdaulat, bahasa Melayu ditambah peranan atau fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa urusan perniagaan dan bahasa komunikasi. Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu akan melahirkan rasa cinta  terhadap bahasa Melayu. Hal ini akan mendorong kita untuk mempelajari, menghayati, menguasai, dan menggunakannya dengan berkesan. Selain itu, sebagai rakyat Malaysia akan berasa bangga terhadap bahasa kebanggaan negara kerana bahasa ini merupakan lambang jati diri dan kedaulatan negara. Sesungguhnya, pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu ini dapat mewujudkan persefahaman pemikiran dan tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian.

 

 

5.1       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan

Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara. Kedaulatan bahasa Melayu muncul kembali apabila bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Singapura. Bahasa kebangsaan mempunyai kaitan rapat  dengan sejarah bangsa dan negara itu sendiri. Setiap negara yang merdeka perlu memiliki bahasa kebangsaan yang dapat melambangkan identiti bangsa dan negara tersebut. Sesuatu bahasa itu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan melalui penggubalan undang-undang.

Fungsi utama bahasa kebangsaan secara khusus adalah untuk menyerlahkan lambang inspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga pengisian bahasa kebangsaan juga dapat bertindak sebagai alat perhubungan dan seterusnya akan menghasilkan satu kumpulan besar masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang hampir sama.  Bahasa kebangsaan juga adalah digunakan untuk perpaduan dalam kalangan warganegara kerana mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan. Sebuah negara yang merdeka memerlukan satu bahasa kebangsaan untuk menjadi dasar satu identifikasi nasional. Jawatankuasa yang merangka Perlembagaan Persekutuan yang diketuai oleh Lord Reid sedar peri pentingnya bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Justeru, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Bahasa kebangsaan perlu diwujudkan dalam sesebuah negara kerana melambangkan identiti kebangsaan dan kedaulatan negara. Bahasa kebangsaan juga berfungsi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta membentuk satu bangsa Malaysia mempunyai identiti keperibadian yang dibanggakan dan kesetiaan yang tinggi. Bahasa kebangsaan juga boleh menggalakkan pertumbuhan corak kebudayaan kebangsaan dan alat komunikasi bagi rakyat Malaysia yang mempunyai etnik yang menutur pelbagai bahasa.

Untuk memenuhi hasrat ini, pada peringkat awal bahasa kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah-sekolah. Kemudian, apabila kedudukan bahasa Melayu sudah mentap dan menjadi keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat serta memupuk keperibadian masyarakat, istilah ‘Bahasa Malaysia’ pula digunakan. Hal ini bermakna, bahasa Malaysia merujuk kepada bahasa Melayu. Namun demikian, istilah bahasa Melayu dan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan tetap tidak berubah dan terus kekal dalam perlembagaan negara.

 

5.2       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi merupakan bahasa yang diberikan status sedemikian secara sah oleh sesebuah negara, negeri atau wilayah. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan, urusan perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan antarabangsa. Bagi sesetengah negara, bahasa rasmi digunakan oleh kerajaan dan pemerintah dalam dokumen rasmi kerajaan berbanding penggunaan bahasa kebangsaan.

Dalam konteks Malaysia, bahasa rasmi bererti pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran negara. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan seharian negara dan fungsinya pula dapat memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti:

i.              Bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi negara.

ii.            Media dalam segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan.

iii.           Penulisan dokumen dan rekod kerajaan.

iv.           Media untuk menulis semula undang-undang dan peraturan negara.

v.            Penulisan semua jenis borang urusan rasmi kerajaan.

 

Bahasa Melayu yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan namun bahasa Inggeris masih digunakan secara rasmi antara tahun 1957 hingga 1967.  Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia melalui penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mula berkuat kuasa pada April 1963. Akta ini mengandungi tiga seksyen yang meliputi aspek-aspek tulisan, bentuk angka dan bahasa yang digunakan dalam borang rasmi kerajaan. Pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan dan mula berkuat kuasa oada 1 September 1967 di Semenanjung Malaysia. Akta ini kemudian disemak dan akhirnya disatukan dengan Akat Bahasa Kebangsaan 1063 dan dikenali sebagai Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Kedua-dua akta ini jelas menunjukkan tentang bahasa Melayu yang dipilih  sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi kegunaan masyarakat. Akta bahasa kebangsaan 1967 memperuntukkan bahawa selepas 1 September 1967, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, kecuali kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris, perhubungan antarabangsa, hubungan diplomatik dan sebagainya. Penekanan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi ini semakin mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

 

5.3       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu / Bahasa Akademik

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu  bermaksud fungsi bahasa bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden, iaitu ilmu sains, teknologi, ekonomi, kejuteraan, kedoktoran, dan undang-undang di samping sastera dan agama. Dengan kata lain bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-lars bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden, misalnya dalam bidang kejuteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras-laras bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuteraan awam, kejuteraaan elektrik dan elektronik, kejuteraan mekanikal dan kejuteraan kimia. Begitu juga dalam bidang kedoktoran, bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang anatomi, biokimia, farmakologi, fisiologi, mikrobiologi perubatan, obstetrik dan ginakologi dan lain-lain lagi.

Laras-laras saintifik ini berbeza pula dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni ukir, laras sains rumah tangga dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986:6). Sebagai bahasa ilmu bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan. Maksudnya kekuatan bahasa Melayu seharusnya setanding dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa Jepun yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu mempunyai ciri keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Keintelektualan bahasa ini dapat dicapai, terutamanya melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasa. Bahasa Melayu pada hari ini dapat memperkatakan bidang yang berbeza daripada apa yang mampu dilakukan oleh bahasa Melayu suatu masa dahulu. Oleh itu, sifat perbendaharaan kata bahasa Melayu juga turut mengalami perubahan. Jika dahulu perbendaharaan kata bahasa Arab dan Sanskrit, kini perkataan bahasa Inggeris sering digunakan, terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan moden.

Sistem tatabahasa pula merujuk kepada segala aspek tatabahasa sama ada ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan dan seumpamanya. Penekanan harus diberi kepada aspek imbuhan dan ejaan kerana kesilapan dalam penggunaannya boleh mengubah maksud sebenar sesuatu ayat yang dihasilkan itu. Bagi menangani perkara ini, terutamanya dari aspek sebutan, perancangan dan pelaksanaan bahasa baku dijalankan. Hal ini bertujuan untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bertaraf tinggi dan ada keselarasan dalam penggunaannya.

Berdasarkan begitu banyak teks, kamus, majalah, istilah dan bahan-bahan bacaan dan rujukan sudah diterbitkan untuk kegunaan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi baik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun penerbit-penerbit swasta, dan berpegang kepada hakikat bahawa bahasa Melayu sudahpun mempunyai pelbagai laras bahasa dalam beraneka bidang ilmu pengetahuan, kita dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa bahasa Melayu sudahpun berjaya sebagai bahasa ilmu.

 

5.4       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Dengan tercatatnya dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Penyata Razak (1956), usaha untuk mencapai tujuan ini telah mula dijalankan. Mulai tahun 1958, bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu hingga ke peringkat darjah VI telah digunakan sebagai bahasa pengantar di kelas menengah Melayu yang kemudiannya menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan.

Di Semenanjung dan di Sabah, pertukaran bahasa pengantar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris telah dijalankan secara berperingkat-peringkat dan dimulakan pada bulan Januari 1968 dengan menetapkan mata pelajaran Jasmani, Ilmu Kesihatan, Seni Lukis dan Pertukangan Tangan, Pelajaran Tempatan dan Muzik diajarkan dalam bahasa Melayu di darjah 1 – 111. Ini diikuti pula oleh mata pelajaran Tatarakyat, sejarah dan Geografi di darjah IV pada tahun 1969. Pada tahun 1970, semua mata pelajaran di darjah I, melainkan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda selain dari bahasa Melayu, diajar dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1975, semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Di Sarawak, pelaksanaannya dimulakan pada tahun 1977, iqitu untuk darjah 1.

Bagi Sekolah Menengah pula, pada tahun 1973, semua mata pelajaran sastera di Tingkatan 1 diajarkan dalam bahasa Melayu. Untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang menerima pelajaran rendah mereka dengan berpengantarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil, bahasa Melayu telah diajarkan sebagai satu mata pelajaran. Seterusnya pada tahun 1975, kelas peralihan bahasa Melayu telah dimulakan supaya pelajar dari sekolah rendah jenis kebangsaan ini dapat meneruskan pelajaran menengah mereka dalam bahasa pengantar bahasa Melayu. Pada tahun 1976, semua Tingkatan 1 menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan semua mata pelajaran sastera di Tingakatan IV diajarkan dalam bahasa Melayu. Mulai tahaun 1980, semua sekolah menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Tingkatan 1 – V, melainkan Tingkatan VI akan menggunakannya mulai tahun 1981.

Kepentingan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan juga sebagai satu mata pelajaran diperkuatkan lagi dalam sistem peperiksaan dengan menjadikan kelulusan dalam mata pelajaran bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan sijil.

Penyata Razak telah menyarankan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan satu mata pelajaran yang penting dalam latihan perguruan. Penyata Rahman Talib telah mengesyorkan supaya Menteri Pelajaran menetapkan satu tarikh yang kelulusan di dalam bahasa Melayu menjadi syarat wajib untuk kemasukan ke mana-mana skim latihan perguruan, dan dalam memilih bakal guru pelatih, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang mempunyai kelulusan di dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu telah dijadikan mata pelajaran wajib di dalam kursus perguruan sejak tahun 1957. Program. Program untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di maktab perguruan telah dijalankan secara beransur-ansur mulai tahun yang sama. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama untuk kursus perguruan sekolah rendah dan mulai tahun 1973, semua maktab perguruan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  dalam hampir semua kursus.

Dasar bahasa Melayu di universiti tidak terpisah daripada dasar bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar pelajaran kebangsaan. Dewasa ini pelajar yang mengikuti pengajian di universiti diwajibkan mendapat sekurang-kurangnya pangkat lulus dalam bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, melainkan Universiti Teknologi Malaysia yang memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya taraf kepujian.  Di universiti tempatan, kedudukan penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dari aspek pengajaran dan aspek pentadbiran. Dalam bidang pengajaran, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran tertentu, dan juga diajar sebagai satu mata pelajaran. Dalam bidang pentadbiran, pada umumnya, bahasa Melayu sudah digunakan sepenuhnya. Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Menjelang tahun 1983, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran sastera di peringkat tahun pertama dilaksanakan.

 

 

 

 

 

5.5       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan

Sepanjang bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa lingua franca dari zaman Sriwijaya hingga hari ini, bahasa Melayu telah berperanan sebagai alat perpaduan. Pada masa Sriwijaya berkuasa, kemudian diikuti pula oleh Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau, bahasa Melayu telah menjadi alat perpaduan yang menyatupadukan suku-suku bangsa di Nusantara. Pada masa penjajahan Inggeris dan Belanda, bahasa Melayu masih memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Apabila Malaysia dan Indonesia didatangi oleh suku-suku bangsa yang bukan serumpun dengan suku-suku bangsa di Nusantara, iaitu Cina dan India, sekali lagi bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Bangsa-bangsa pendatang ini bersedia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan oleh semua kaum adalah suatu tanda bahawa mereka menerima konsep bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia. Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Oleh itu, mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan kepada semua pelajar pada semua peringkat sekolah, sebaik sahaja bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur daripada berbagai-bagai bangsa dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.

 

5.6       Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi

Komunikasi bermaksud perhubungan antara orang dengan orang atau antara organisasi dengan organisasi, dengan menggunakan bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan dalam erti kata yang tradisional. Sebaliknya, pada zaman serba canggih ini, komunikasi boleh mengambil bentuk-bentuk yang berbeza. Sebagai contoh, filem dapat menjadi alat komunikasi yang sangat berkesan. Cerita yang dipaparkan dapat menimbulkan pelbagai perasaan dan emosi. Oleh itu, sesebuah filem dapat menaikkan imej seseorang atau sesebuah negara ataupun sebaliknya. P. Ramlee, melalui filem-filemnya telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu merentasi batasan bangsa dan budaya dan telah diterima oleh mesyarakat pada ketika itu sehingga kini. Bahasa Melayu dalam konteks komunikasi tradisional telah memainkan peranannya sebagai bahasa lingua franca semenjak zaman Empayar Sriwijaya lagi. Pada hari ini, hampir semua rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa dalam semua bentuk komunikasi secara meluas melainkan dalam sektor swasta.Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi bahasa antarabangsa kerana empat buah negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Era digital”, “dunia tanpa sempadan”, dan “global” adalah istilah-istilah yang menggambarkan senario masa depan dunia. Era baru ini dapat dijadikan jentera untuk memperkaya sesuatu bahasa dan memperkenalkannya ke seluruh dunia. Satu daripada cara untuk memperkenalkannya ke seluruh dunia adalah dengan menggunakan Internet. Pada masa yang sama, bahasa Melayu dapat diperkenalkan melalui program “Belajar Bahasa Melayu” melalui internet.

 

5.7       Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Urusan Perniagaan

Kadar penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan amat bergantung pada sejauh mana penutur-penutur ibunda bahasa itu menggunakannya dalam urusan perniagaan mereka. Sekiranya banyak antara mereka terlibat dalam perniagaan, maka bahasa yang digunakan mereka akan dijadikan alat komunikasi dalam urusan perniagaan dengan meluas. Bahasa Inggeris, sebagai contoh, menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan pada masa kini kerana besarnya jumlah perniagaan yang dijalankan oleh negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Britain. Sebaliknya, bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa perantaraan dalam kalangan ahli perniagaan sekirannya negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu tidak cergas terlibat dalam bidang tersebut.

 

Kesimpulan

 Tujuh fungsi bahasa yang dibincangkan dalam bab ini khusus merujuk kepada bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu yang telah diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia itu mempunyai tujuh fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu/akademik, bahasa pengantar, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa urusan perniagaan. Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bahasa Melayu harus memikul tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca supaya dikenali dan boleh diguna pakai oleh masyarakat dunia.

 

 

 

 

 

Latihan

  1. Antara fungsi bahasa Melayu adalah sebagai bahasa perpaduan. Bincangkan sejauh manakah  bahasa Melayu telah berjaya dalam menyatupadukan penduduk yang berbilang kaum di Malaysia.
  2. Jelaskan lima fungsi bahasa Melayu.
  3. Bagaimanakah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mampu memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
  4. Apakah kelebihan dan kelemahan sistem pendidikan yang mengizinkan rakyatnya memilih sekolah rendah mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing?

 

Rujukan

Abdullah Hassan, (1986). Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan, (2007). Linguistik Am: Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdsn. Bhd.

Abdul Hamid Mahmood, (1997).  Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media                Printext (M) Sdn. Dhd.

Habibah Mohd. Samin, Hasnah Awang, (2010). Revisi Bahasa Melayu Akademik 1 untuk PPISMP. Kuala Lumpur:Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Yousof@Saat Md Yasin, Open Universiti Malaysia, (2007). MPW 1113/2113 Bahasa Kebangsaan A. Kuala Lumpur:Prentice Hall, Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Siri Pendidikan Guru Bahasa Melayu 1. Shah Alam, Selangor: Oxford fajar Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. Las Vegas: The Best Casino in Las Vegas - JtmHub
    This Las Vegas resort features an all new slot machine, the Lucky 15. 당진 출장마사지 There are 서울특별 출장안마 no hidden slot 울산광역 출장안마 machine entrances, so the only thing you need is 서산 출장샵 to 안양 출장마사지 have a

    ReplyDelete